
Bismillah, Walhamdulillah, Allahuakbar.
"Sungguh menakjubkan urusan orang yang beriman, sesungguhnya segala urusaannya adalah baik belaka, tidak seorang pun dapat bersikap demikian kecuali hanya orang yang beriman, sekiranya dia mendapat nikmat lalu dia bersyukur dan itu adalah baik baginya dan sekiranya dia ditimpa kesusahan, dia bersabar dan itu juga adalah baik baginya (H.R.Bukhari dan Muslim)
D
ISKUSI 'Blog: Percaya Biar Bertempat' di Laman Karyawan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini, mengabsahkan pendapat yang mengatakan tulisan yang disiarkan di blog tidak boleh dipercayai.
Ini kerana kebanyakan penulis blog tidak berniat mendedahkan hal sebenar dan sekadar ingin memberi gambaran mengenai luahan rasa mereka, mendapatkan timbal balas daripada pengunjung blog di samping menjaga etika tanggungjawab sosial dalam blog.
Hal ini hangat diperkatakan tiga penulis blog, Muhammad Faisal Sharbudin yang menggunakan nama pena 'elmaaniq', Nor Shafinaz Shamsudin (pinat) dan Salina Ibrahim (salinaibrahim), pada diskusi yang dipengerusikan Anwar Othman.
klik untuk berita penuh.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Agak menarik juga artikel di atas, yang disiarkan oleh sebuah surat khabar tempatan semalam. Artikel menyiarkan berita tentang suatu program diskusi yang telah diadakan bagi membincangkan persoalan berkaitan kebolehpercayaan blog sebagai medium penyampai maklumat.
Ana tak berminat untuk mengulas mengapa diskusi sedemikian diadakan (dan mengapa tajuk tersebut yang dipilih!). Cuma yang ingin ana ulas ialah berkenaan dengan betapa akhirnya, orang mula memandang kepada betapa berkesannya blog dalam menjadi media penyampai maklumat.
Ana berpendapat, isu jujur atau tidak, sebenarnya tidak timbul, bahkan jika dilihat kepada logik, sudah pasti setiap maklumat yang disiarkan di dalam blog lebih jujur kerana ianya datang daripada diri penulis sendiri (kecualilah blog yang sengaja diwujudkan untuk tujuan penyebaran propaganda oleh pihak-pihak yang berkepentingan). Malah, setiap isi kandungan blog tidak melalui proses suntingan dan saringan, berbeza keadaannya dengan laman-laman web atau media-media yang lain, yang pada hakikatnya mengalami kedua-dua proses tersebut.
Penulisan di blog, meskipun tidaklah boleh diterima sepenuhnya dan tidak dapat dipastikan kesahihannya, setidak-tidaknya masih mempunyai nilai ilmiah yang boleh diselidiki dan dikaji. Hakikatnya, masih terdapat banyak blog yang menjadi medium membincangkan subjek-subjek ilmiah, selain menjadi diari maya pemilik. Justeru, ianya tidak boleh diketepikan sama sekali. Meskipun media-media massa mahupun elektronik menyiarkan berita dan kandungan yang boleh dikira kredibel, hakikat bahawa ianya seratus-peratus transparent dan boleh dipercayai adalah tidak munasabah kerana penulisan yang berkepentingan kadangkala membunuh kebenaran yang berlaku. Apatah lagi sejarah telah mencatatkan betapa media massa dan elektronik seringkali tercemar dengan peranan sebagai agen propaganda serta media tabloid, sekaligus menimbulkan keraguan dari segi ketelusan dan tahap kebolehpercayaan kandungan yang disiarkan.
Apapun, dengan kewujudan blog pada hari ini, masyarakat dunia telah mempunyai satu lagi alternatif bagi mendapatkan informasi. Terpulanglah kepada mereka untuk menilai sejauh manakah kebenaran maklumat yang disiarkan.
Sekadar pandangan peribadi. Apa pandangan anda?
Maaf salah dan silap.
Bersabar dan bersolatlah... Wassalam.

No comments:
Post a Comment