Monday, March 27, 2006

HADIS 2 - KEWAJIPAN MENYEMPURNAKAN SOLAT

Bismillah, Walhamdulillah, Allahuakbar.

Dari Abu Hurairah r.a. menceritakan: "Seorang lelaki masuk ke dalam masjid lalu menunaikan solat. Kebetulan Rasulullah S.A.W. ketika itu sedang berada di satu penjuru masjid. Selesai solat, lelaki tadi datang dan memberi salam kepada baginda. Baginda menjawab salamnya namun kemudiannya baginda berkata kepadanya; "Kembali tunaikan solat. Sesungguhnya engkau tidak menunaikan solat". Lelaki itu pun mengulangi solatnya sebagaimana ia kerjakan tadi. Selesai solat, beliau datang lagi kepada Rasulullah dan memberi salam. Rasulullah menjawab salamnya dan berkata lagi; "Kembali tunaikan solat. Engkau sesungguhnya tidak mengerjakan solat". Setelah tiga kali beliau mengulangi solatnya (dan Rasulullah masih menyuruhnya lagi), akhirnya ia berkata kepada baginda; "Demi Tuhan yang mengutuskan engkau dengan kebenaran! Aku sememangnya tidak mampu melakukan lebih baik dari ini. Maka ajarkanlah aku". Rasulullah pun (mengajarnya solat yang betul dengan) bersabda kepadanya: " Apabila kamu hendak menunaikan solatm maka sempurnakanlah wudhuk, kemudian mengadaplah ke arah kiblat. Setelah itu ucapkanlah takbir, kemudian bacalah apa yang mudah bagi kamu dari Al-Quran, kemudian ruku'lah sehingga kamu tenang dalam keadaan ruku', kemudian bangkitlah dari ruku' hingga badan kamu lurus/tegak berdiri, kemudian sujudlah sehingga kamu tenang dalam keadaan sujud, kemudian kamu bangkitlah dari sujud sehingga kamu tenang dalam keadaan duduk. Seterusnya kamu lakukanlah sedemikian pada (rakaat-rakat) solat kamu keseluruhannya". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

P

erhatikan dalam hadis ini; Rasulullah menganggap orang yang tidak mengerjakan solat dengan betul seolah-olah tidak menunaikan solat. Ini memberi pengajaran kepada kita bahawa solat mempunyai kaifiyah tertentu yang mesti kita ikuti supaya ia diterima Allah. Kaifiyat solat yang sempurna ialah yang selari dengan cara solat Nabi S.A.W. Ini ditegaskan oleh baginda dalam hadis pertama tadi.

Melalui hadis di atas, Rasulullah S.A.W. menjelaskan perkara-perkara yang wajib dalam solat iaitu membaca ayat Al-Quran (yakni surah Al-Fatihah berdasarkan kepada keterangan hadis yang lain), ruku', iktidal, sujud, duduk di antara dua sujud dan Thoma'ninah ketika ruku', sujud dan duduk di antara dua sujud.

Namun menurut ulama', lima perkara di atas bukanlah keseluruhan perkara yang wajib dalam solat, sebaliknya ada beberapa perkara wajib lagi seperti niat, duduk pada tasyahhud akhir dan tertib. Perkara yang diiktilafkan oleh ulama pula ialah seperti membaca tasyahud akhir (wajib di sisi mazhab Syafi'ie), selawat ke atas Nabi (wajib di sisi mazhab Syafi'ie, Imam Ahmad, asy-Sya'bi), salam (wajib di sisi mazhab Syafi'ie dan jumhur ulama'), tasyahhud awal (wajib bagi mazhab Imam Ahmad), tasbih (mazhab Imam Ahmad), takbir intiqaliyyah (mazhab Imam Ahmad), niat keluar dari solat (sebahagian ulama mazhab Imam Syafi'ie), thoma'ninah ketika i'tidal (mengikut pandangan yang masyhur dalam mazhab Syafi'ie).

Hadis di atas juga menyebutkan tentang thaharah (bersuci) dan menghadap kiblat. Kedua-duanya merupakan syarat-syarat sah solat yang wajib dipastikan sebelum menunaikan solat.

Maaf salah dan silap.
Bersabar dan bersolatlah... Wassalam.

No comments:

Post a Comment