
Bismillah, Walhamdulillah, Allahuakbar.
"Maha suci Dia. Apabila Dia telah menetapkan sesuatu, maka Dia hanya berkata kepadanya: "Jadilah", maka jadilah ia." (Maryam: 35)
K
UALA LUMPUR 1 Jun- KUALA LUMPUR 1 Jun - Ketika keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Pasir, Taman Bukit Zoo View semalam meratapi pemergian orang tersayang, punca bencana masih lagi menjadi persoalan.
Seperti biasa seolah-olah terlalu sukar untuk mencari siapa yang bersalah sehingga memungkinkan tragedi itu berlaku yang bukan sahaja meranapkan tiga blok rumah panjang tetapi juga meragut nyawa empat penduduk termasuk dua daripadanya kanak-kanak.
Ini bukan kali pertama tanah runtuh berlaku di Hulu Klang malah ia adalah kali ketiga dalam tempoh 13 tahun dan sekali lagi seperti juga beberapa kes lain di Selangor siapa yang bersalah dan langkah penguatkuasaan sering menjadi tanda tanya.
klik untuk berita penuh.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Persoalannya...berapa kali lagikah kita perlu bersedih meratapi kejadian tanah runtuh? Berapa kali lagikah kita perlu kehilangan nyawa-nyawa yang tidak berdosa akibat kelalaian dan kerakusan orang lain? Berapa kali lagikah kita perlu membuang masa dan wang ringgit untuk menyiasat dan terus menyiasat?
Entahlah...tapi kita ibarat terjatuh di lubang yang sama berkali-kali.
Bukan sekali, tetapi kita seakan tidak pernah menginsafi apa yang terjadi. Bukit dan gunung terus ditarah semahunya atas nama pembangunan. Projek demi projek diluluskan tanpa dipantau perlaksanaannya. Yang pasti, ada insan yang menimba emas tatkala yang lain terpaksa bersabung nyawa.
Hakikatnya pembangunan di kawasan cerun merupakan suatu perkara yang cukup kritikal, yang memerlukan kepada kajian dan pemantauan yang terperinci. Ini kerana kestabilan struktur tanah tidak mampu diukur dengan tepat, melainkan dengan membuat anggaran dan anggapan. Kestabilan cerun berkait rapat dengan faktor satah kegagalan tanah, zon luluhawa, faktor paras air bumi, jenis dan struktur batuan/tanih dan saliran semula jadi serta hujan. Kajian tapak yang dilakukan sebenarnya hanya mampu mengandaikan sahaja perilaku tanah, jauh sekali daripada menggambarkan dengan tepat keadaan sesuatu cerun.
Sebab itulah, bidang kejuruteraan moden telah mencadangkan supaya kawasan cerun perlu diperkukuh terlebih dahulu sebelum sebarang kerja pembinaan dijalankan. Mana-mana pemaju dikehendaki melakukan ujian dan analisis tanih (in-situ dan makmal) terlebih dahulu, bagi mendapatkan maklumat-maklumat seperti bentuk muka bumi, struktur batuan/tanih dan sebagainya. Daripada maklumat ini, kekuatan tanah serta satah kegagalan dapat diandaikan. Seterusnya jenis struktur penahan akan dipilih dan direkabentuk bagi memastikan ianya dapat melindungi cerun/ tanah daripada mengalami kegagalan.
Namun hakikat yang berlaku jauh daripada apa yang sepatutnya. Impaknya, manusia yang tidak berdosa terus menjadi korban hasil kecuaian dan sifat tamak manusia. Kita menjadi manusia yang sengaja mencipta bencana. Yang nyata, apa yang berlaku di Kampung Pasir, Taman Bukit Zoo View bukanlah kali pertama dan bukan juga yang terakhir.
Maaf salah dan silap.
Bersabar dan bersolatlah... Wassalam.

No comments:
Post a Comment