Sunday, July 2, 2006

MEMELIHARA AGAMA DARI FITNAH - Siri 3

Memelihara Agama Dari Fitnah : Pengertian Ulama'

U

lama dimaksudkan sebagai seorang alim yang mengetahui ilmu agama dan hukum hakam Islam dengan kefahaman yang mendalam terhadap kitab dan sunnah serta mampu memberi pertunjuk dan penjelas kepada manusia berdasar kepada kitab Allah S.W.T. dan sunnah Rasulullah S.A.W.

"Bertanyalah kamu kepada orang yang mengerti jika kamu tidak mengetahui" (An-Nahl : 43).

Ulama dimaksudkan sebagai seorang alim yang mengetahui ilmu agama dan hukum hakam Islam dengan kefahaman yang mendalam terhadap kitab dan sunnah serta mampu memberi pertunjuk dan penjelas kepada manusia berdasar kitab Allah dan sunnah rasulullah.

"Dan Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan yang memiliki ilmu beberapa darjat dan Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. (Al-Mujadalah :11)".

Bahkan ulama itu ialah mereka yang mewarisi ilmu dan kefahaman dari umat terdahulu kerana Islam itu ialah pewarisan dari zaman ke zaman bukan satu agama yang direka cipta dan ditokok tambah pada setiap zaman.

Sabda rasulullah Sesungguhnya ulama itu pewaris nabi dan para nabi tidak mewariskan harta tetapi mereka mewariskan ilmu. ( Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2606, Abu Daud dan Ibn Majah) .

Ulama disimpulkan sebagai mempunyai tiga ciri penting iaitu :

a) Golongan yang alim yang mempunyai pemahaman dan pengetahuan yang mendalam terhadap kitab Allah dan sunnah rasulullah.

Dimaksudkan dengan pengetahuan mendalam ialah mereka (ulama) haruslah memiliki kekuatan ilmu secara ilmiah terhadap kitab Alllah iaitu Al-Quran dengan menguasai ilmu alat dan kaedah seperti bahasa arab dan sasteranya, hadith dan usulnya serta ilmu tafsir dan kaedah penafsiran yang sahih, usul fiqh dan lain-lain ilmu yang berkaitan.

"Maka kami memberi kefahaman kepada Sulaiman dan masing-masing kami berikan hukum (keputusan) dan pengetahuan (Al-Anbiya :79)".

"Sesungguhnya Al-Quran ada tersebut dalam kitab-kitab kaum terdahulu, Tidak cukupkah Keterangan untuk mereka bahawa ulama bani Israeil mengetahui hal itu (Asy-Syuaraa': 197).

Mereka yang mampu menafsirkan Al-Quran tidak digelar ulama apabila tafsir mereka lari dan menyimpang dari pertunjuk sunnah kerana dengan hanya ilmu bahasa mereka mampu mendakwa boleh memahami kitab Allah sedang mereka tidak memiliki pertunjuk rasulullah (sunnah) dalam memahami kitab Allah maka mereka ini tidak lain bukan ulama tapi ahlul hawa (mengikut hawa nafsu).

Barangsiapa yang mengatakan sesuatu perihal Al-Quran dengan menggunakan akalnya atau dengan apa yang tidak diketahuinya maka bersedialah dia dengan tempat di neraka. (Hadith hasan, riwayat Ibn. Jarir 34 Jilid 1 & Tirmidzi no. 2950).

"Sesungguhnya Allah memberi hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan barangsiapa yang diberikan hikmah maka sesungguhnya dia telah mendapat kebaikan yang banyak. (Surah Al-Baqarah : 269).

Dikeluarkan oleh Ibn Abi Hatim dari riwayat Ibn Abi Talhah dari Ibn Abbas ra dalam menafsirkan ayat ini dengan berkata íÄÊí ÇáÍßã itu bermaksud Mengenal Al-Quran, memahaminya serta mengetahui nasakh dan mansukh, ayat-ayat muhkamat dan mutasyabihat, mengetahui yang awal dan akhir diturunkan serta mengetahui halal dan haram dan yang berkaitan dengannya. (Al-Itqan Fi Ulum Quran, m/s 452, Jilid 3).

Seterusnya mereka mestilah menguasai sunnah rasulullah dan memiliki pemahaman yang mendalam terhadap sunnah rasulullah dan mengetahui pegangan salaf soleh serta kaedah mereka iaitu mengetahui ilmu hadith dan usulnya dengan menguasai kaedah riwayat dan dirayat serta mampu memahaminya dan mengambil manfaat darinya.

Sebagaimana disebut oleh baginda salallahualaihiwasalam : Bukankah aku ini diberikan Al-Quran kepadaku dan sesuatu yang menyerupainya (Sunnah) (Hadith Sahih, riwayat Abu Daud no. 4604, lihat dalam Sahih Jami no. 2643). Imam Syafie ra juga pernah mengatakan Setiap yang dihukumkan oleh rasulullah merupakan apa yang hasil dari Al-Quran. (lihat dalam Mabahis Fi Ulum Quran, m/s 302).

Ini disimpulkan sebagai :

- Mampu mengetahui riwayat dan dirayat hadith serta kaedah penyampaiannya dan mampu mengetahui kesahihan sesuatu sunnah itu benar dari nabi salallahualaihiwasalam.

- Memiliki kekuatan ilmu mengetahui sebanyak mungkin melebihi kemampuan orang biasa dalam sunnah rasulullah.

Contohnya : mereka yang menguasai 500 buah hadith tentu tidak sama darjatnya dengan mereka yang menguasai 1000 000 buah hadith dengan mengetahui ilatnya (cacatnya) , sahih dan dhaifnya serta mengetahui makna dan pemahamannya maka sesiapa yang lebih banyak menguasai sunnah maka dialah dikira lebih alim.

Berkata Muhammad ibn Abdillah Al-Munadi bahawa aku mendengar dari seorang lelaki bertanya kepada Ahmad (Imam Ahmad ra) dengan berkata : Sekiranya seseorang itu menghafaz seratus ribu hadith apakah dia seorang faqih ? maka Ahmad mengatakan tidak dan ditambah dua ratus ribu hadith ? Dijawab tidak dan ditambah tiga ratus ribu maka dijawab tidak dan ditanya jika empat ratus ribu hadith ? Maka dijawab oleh Ahmad seperti itu membenarkan (lihat Ilam Muwaqiien m/s 44 Jilid 1).

- Mampu mengambil pengajaran dalam hadith dengan berpandu kepada manhaj salaf soleh dan kaedah mereka.

Contohnya : Wujud hadith yang merupakan sabda baginda rasulullah dalam sesuatu perkara namun tidak membawa keputusan hukum yang jelas kepada mereka yang membacanya hari ini setelah 1400 tahun berlalu tetapi ulama itu ialah mereka yang mampu mengetahui tujuan sebuah hadith dan hukum yang dibawa olehnya melalui pemahaman mereka kepada suasana yang berlaku berdasarkan pengetahuan mereka tentang hadith yang satu itu dari riwayat yang lain yang dapat dikaitkan, dari asar dan riwayat salaf soleh dan dari penelitian dan kajian mendalam terhadap riwayat sampingan dan penambahan rawi yang terdapat dalam sebuah hadith tersebut.

Kerana itulah pada kitab Al-Faqih Wal Mutafaqih oleh Imam Khatib al-Baghdadi ra menyebutkan bahawa Imam Syafie ra pernah menyebut : Tidak halal bagi seseorang itu memberikan fatwa dalam agama kecuali mereka yang mengetahui tentang kitab Allah baik nasakh dan mansukhnya, muhkamat dan mutasyabihat, tawil dan penurunannya, makkiyah dan madaniyah dan lain-lain serta juga menguasai hadith seperti mana perlunya dia menguasai Al-Quran, mahir bahasa arab dan juga mahir ilmu usul dan kemahiran yang berkaitan (lihat Al-Faqih Wal-Mutafaqih dan Ilamul Muwaqiin oleh Imam Ibn Qayyim m/s 45 Jilid 1 dengan tambahan perkataan dari penulis).

Maka tidaklah dapat dikatakan kepada mereka hari ini yang baru menamatkan pengajian peringkat tertentu sebagai ulama lalu mendakwa ini ialah perkara yang khilaf (diperselisihkan) tanpa memahami hal yang sebenar akibat kejahilan dan kedangkalan dan ceteknya kebolehan dalam memahami sunnah rasulullah kerana mereka yang membaca hadith pada hari ini tentu sahaja tidak akan mendapat pemahaman seperti apa yang dibaca oleh sahabat yang mengetahui keadaan dan memahami maksud sebenar sabda baginda.

Dari Fudhail bin MaiI yang telah menyebut aku mendengar dari Mujahid yang telah berkata Aku membaca Al-Quran kepada Ibn Abbas sebanyak 3 kali dan aku berhenti pada setiap ayat dan bertanya tentang apa yang diturunkan dan bagaimana keadaannya. (Al-Itqan Fi Ulum Quran m/s 485 Jilid 3). Malah berkata Sufyan As-Sauri Ambillah ilmu tafsir dari Saad Ibn Jubair, Mujahid, Ikrimah dan Dhahak (lihat Hilyatul Auliya m/s 329 Jilid 3).

bersambung

No comments:

Post a Comment