Monday, July 10, 2006

MEMELIHARA AGAMA DARI FITNAH - Siri 5

Memelihara Agama Dari Fitnah : Pengertian Ulama'


c) Pemahaman mereka itu ialah satu yang diwarisi dan dihasilkan dari hasil penyelidikan, kajian dan usaha gigih disamping pertunjuk dan hidayah dari Allah swt.

Sesungguhnya para ulama itu merupakan golongan yang bijak, berpengalaman dan disebut sebaik-baik golongan manusia di bawah langit dan di atas muka bumi. Mereka ini ialah benteng kesucian agama dan mempertahankan agama dari penyelewengan, kejahilan dan kesesatan.

Berkata Imam Ibn Abdil Bar ra dan lain-lain dari para ulama bahawa para muqalid (golongan yang bertaqlid seperti kebanyakkan orang pondok dan yang seketurunan dengannya) tidaklah dikira dan tidaklah dianggap sebagai ahli ilmu atau golongan berilmu kerana ilmu itu ialah mengetahui kebenaran dengan dalil dan demikianlah para ulama itu menjauhi taqlid iaitu tidak menerima sesuatu pendapat tanpa dalil dan tidaklah layak disebut ulama pada mereka yang bertaqlid (lihat Ilamul Muwaqiin oleh Imam Ibn Qayyim m/s 13 Jilid 1 dengan tambahan perkataan dari penulis).

Walau bagaimanapun dalam memahami ilmu dan kefahaman mereka perlulah jelas bahawa antara ciri penting ulama itu ialah kefahaman mereka dan ilmu mereka itu merupakan pewarisan dan bukan sesuatu yang direka oleh kebijaksanaan akal.

Sesungguhnya ilmu itu diwarisi dari usaha gigih dan pengorbanan serta keikhlasan mencarinya dari sumber-sumber ilmu iaitu kitab dan sunnah serta pengalaman dan manhaj kefahaman yang disampaikan secara turun temurun dari salaf soleh.

Dimaksudkan ilmu itu diwarisi ialah ilmu Islam iaitu kitab Allah dan sunnah rasulullah diwarisi dari baginda rasulullah kepada sahabat dan dari sahabat kepada tabien dan seterusnya sehingga kepada ulama.

Mereka mewarisi dengan jalan riwayat dan perawi yang siqah dipercayai keadilan dan kesahihan periwayatannya sebagai pemegang amanah ilmu dan kebenaran. Inilah yang dimaksudkan sebagai ulama itu mewarisi ilmu dan kefahaman yang sahih bukan dengan jalan mereka cipta atau mencapainya dengan fikrah (idea) atau pendapat.

Inilah yang terhasil sebagai menyimpulkan hadith baginda rasulullah salallahualaihiwasalam : Sesungguhnya ulama itu pewaris nabi dan para nabi tidak mewariskan harta tetapi mereka mewariskan ilmu ( Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2606, Abu Daud dan Ibn Majah).

Diriwayatkan dari Qatadah ra : "Barangsiapa yang tidak mengetahui perkara khilaf, tidaklah sampai melepasi ilmu fiqh dari hidungnya (maksudnya belumlah mahir)".

bersambung

No comments:

Post a Comment