Bismillah, Walhamdulillah, Allahuakbar.
Sudah dua purnama mereka berhilai tawa, bergurau senda, dan dua purnama jugalah desa-desa terlalu sunyi jadinya. Bukan sekadar yang muda-muda saja, yang sudah tempah lot kubur pun pergi juga. Yang ustaz dan ustazah pun serupa, katanya sudah sekian lama malam mereka bertemankan bulan purnama, apa salahnya kalau sekali-sekala pergi ke kota, membiarkan diri disiram lampu limpah yang ternyata cukup indah terangnya. Tak seperti purnama, kadangkala cerah, kadangkala tiada, dan sekarang bukankah purnama sedang gering, purnama tiada kuasa lagi menerangi kota dan desa. Ramai juga yang telah lupa pada purnama, walaupun mereka suatu masa dulu adalah orang yang memuji-muji keindahan dan kecerahan purnama.
Biasalah, bukankah sifat bangsa kita juga mudah lupa? Bukankah lupa bererti miskin ingatan? Bukankah miskin ingatan bermakna sebahagian daripada kemiskinan dan bukankah kemiskinan itu merupakan prinsip perjuangan bangsa? Tiada salah kalau sekiranya ustaz dan ustazah pun pelupa, kerana mereka juga sebangsa dengan kita dan sifat lupa itu patut dipuji. Bukankah sifat bangsa kita, apabila mendapat rotan, akar di hutan dilupakan?
Cuma dua tiga lebai di hujung desa sahaja yang tidak berganjak dari surau mereka. Merekalah sebenarnya penderhaka kerana enggan mewarisi perjuangan suci bangsa kita. Kejumudan telah mengajar mereka agar jangan mengejar nikmat, sedangkan nikmat itu adalah untuk dikaut dan dirasa semahunya. Biarkan mereka, kerana bilangan mereka tidak seberapa, apatah lagi kawan-kawan mereka yang bergelar ustaz dan ustazah pun sudah berhijrah dan bersuka di kota, maka siapa lagi yang bersama-sama mereka?
Karnival di kota sudahpun selesai. Wajah-wajah pewaris bangsa ada di mana-mana, tertidur, tertiarap, tersembam mabuk, dan sesetengahnya pula sudah terbujur kaku. Biarlah mereka begitu kerana mereka perlu masa untuk berehat, setelah dua malam berpesta dan bersuka, setelah dua hari bermati-matian menegakkan prinsip perjuangan bangsa. Merekalah sebenarnya wira yang tidak pernah malu untuk mempertahankan kemiskinan, dan lihatlah betapa miskinnya mereka hari ini. Miskin rupa, miskin harta, miskin tatasusila. Maka mereka patut disanjung dan dipuja, diarak pulang ke desa. Persiapan harus dibuat bagi menyambut kepulangan mereka apabila terjaga mereka dari mabuk dan lena, yang entah bila waktunya. Apabila mereka bangun kelak, mereka perlu dijulang dan disorak, dan pesta ini perlu dilakukan di seluruh desa kota gapura utara ini, kerana dengan berpestalah, maka kita boleh terus bergelumang dalam kemiskinan.
Bukankah nur takkan melimpah di hati?
Maaf salah dan silap.
Bersabar dan bersolatlah... Wassalam.
tazkirah hari ini
Dikemaskini 14/6/04
puisi
Dikemaskini 14/6/04

No comments:
Post a Comment