Bismillah, Walhamdulillah, Allahuakbar.
Entah dari mana datangnya manusia, namun yang nyata, bandar yang selama ini cukup harmoni tetiba je semacam jadi kem pelarian. Terlalu banyak manusia bagi sebuah bandar sebesar ini, berbagai-bagai jenis, sampaikan jenis yang tak diketahui jenisnya pun ada, semuanya kerana karnival sebuah tv swasta. Setelah berhasil menarik kunjungan manusia di beberapa lokasi terdahulu, bandar ini menjadi medan pertaruhan berikutnya, apakah sambutannya lebih hebat atau sebaliknya.
Namun, Insya Allah, walau apa jua yang berlaku di bandar, suasana di masjid-masjid yang jumlahnya tak terkira, akan terus seperti sediakala. Para imam akan terus mengimamkan solatnya seperti biasa, bersama makmum yang jumlahnya boleh dikira manakala laungan azan akan terus didengari di mana-mana. Cuma yang bezanya, mungkin kali ini suara azannya agak bergema, kerana kampung-kampung sudah sepi daripada manusia. Mereka telah berhijrah ke bandar, untuk berpesta di sana. Suasana damai ini mungkin akan sedikit memudahkan para ustaz untuk menyampaikan kuliah agamanya. Ilmu akan lebih mudah disampaikan apabila hati penyampai dan penerima ilmu, dan suasana sekitarnya menjadi tenang... bukankah itu konsepnya?
Seperkara lagi, karnival yang ada sudah pasti tidak akan mencalarkan barang sedikitpun identiti bangsa kita. Bangsa kita perlu terus dikenali sebagai bangsa yang miskin segala-galanya, miskin harta, miskin budi dan miskin pengetahuan, dan kemiskinan itu perlu dipertahankan. Tanpanya bangsa kita takkan lagi dikenali di dunia. Bahkan penganjuran karnival sebegini akan hanya menguatkan lagi identiti bangsa, kita dapat terus bersuka, kita akan terus berbelanja dan kita boleh terus berpesta, bukankah itu sebahagian daripada prasyarat untuk menjadi bangsa yang miskin budaya? Dan bukankah kemiskinan budaya itu juga sebahagian daripada kemiskinan? Bukankah kemiskinan adalah lambang bangsa yang wajib dipertahankan? Maka apalah salahnya diadakan saja karnival seumpamanya walaupun dua tiga lebai di hujung kampung seakan-akan menentangnya? Biarkan mereka, mereka itu puak yang kecewa, mereka bangsa yang derhaka.
Tak mengapalah, mungkin inilah hadiah istimewa kepada rakyat yang telah selama ini berjuang mempertahankan kemakmuran negara, bermati-matian menegakkan tiang istana. Apalah salahnya kalau kadangkala budi yang baik itu dibalas dengan hadiah yang menggembirakan mereka yang telah berbudi? Bukankah bangsa kita suatu masa yang lampau adalah bangsa yang kaya dengan budi, walaupun hakikatnya kini miskin tatasusilanya, maka tiada salahnya kalau kadangkala kita ikuti apa yang pernah nenek moyang kita lakukan, walaupun bertentangan dengan prinsip perjuangan menegakkan kemiskinan, kerana mereka juga saudara sedarah dengan kita. Kalaulah apa yang mereka lakukan itu salah, maka kita adalah anak cucu mereka yang bersalah. Bukankah begitu logiknya? Mereka tidak bersalah, cuma, mereka dahulu tidak pandai mempertahankan kemiskinan berbanding kita.
Berpestalah, kerana nur takkan melimpah di hati. Masa muda perlu diisi dengan kemanisan. Kolam hati perlu dilimpahi dengan madu, maka manalah ada tempat untuk nur? Ahh... mati masih jauh, justeru apalah gunanya tergesa-gesa mencari nur? Nur tak perlu melimpah ke hati. Bukankah nur itu ada di mana-mana?
Maaf salah dan silap.
Bersabar dan bersolatlah... Wassalam.
tazkirah hari ini
Beberapa Bahagian hadis
album
MahaMu

No comments:
Post a Comment