Bismillah, Walhamdulillah, Allahuakbar.
Sebab itulah kami masih sayangkan benih yang telah sekian lama kami gunakan ini. Biarlah semua orang beralih kepada benih yang baru sekalipun, kami tetap takkan berubah. Selagi benih ini boleh dicari, selagi itulah kami akan terus menanamnya. Kami ingin benih-benih kami suatu hari nanti membesar dengan baik, sesempurna kami. Merekalah nanti yang akan mewarisi kerja bendang kami, maka mereka perlu dibesarkan dengan sebaiknya, sepertimana arwah membesarkan kami.
Kami pun tidak akan malu anak-anak kami nanti membesar dengan makan beras hasil padi yang kami tanam, kerana benih padi kami baik. Apa yang perlu dimalukan? Sepertimana baiknya benih padi kami, sebaik itulah kami mahukan benih kami nanti.
Apa yang kami harapkan nanti, akan lahir zuriat kami hasil daripada makanan yang baik yang kami makan, dan zuriat itu nanti akan membesar menjadi orang yang baik-baik. Kami tidak mahu perut kami terisi dengan makanan yang entah kami sendiri pun tak pasti asal usulnya, dan halal haramnya. Bukankah lebih baik mengelakkan diri daripada benda-benda yang syubhah, yang meragukan?
Bila tubuh bercampur dengan benda-benda yang haram, kami bimbang nanti benih keturunan kami akan rosak. Kami bimbang mereka akan lahir sebagai manusia-manusia sakit, sakit jasmani dan rohaninya. Sekarang pun sudah ramai manusia yang sakit di atas muka bumi ini, dan manusia-manusia yang sakit itu pula dipimpin oleh mereka yang sakit-sakit juga... kami bimbang semua itu, kami bimbang.
Biarlah zuriat kami makan beras yang baik hasil daripada benih padi kami yang baik itu. Biarlah mereka membesar dengan makan makanan yang halal dan baik, pembesaran mereka perlu dijaga kerana mereka juga benih kami. Sepertimana benih padi dijaga di batas semaian, seperti itulah benih keturunan perlu dipelihara. Biarlah kami dikata. Biarlah, kerana memang kami memilih benih.
-----
Maaflah dah beberapa hari tak dapat nak memblog. Maklumlah, bila akaun Jaring dah zero, mesti nak kena top-up, nak top-up nak kena keluar pekan, nak keluar pekan pulak mesti duit habis lagi. :p
Maaf salah dan silap.
Bersabar dan bersolatlah... Wassalam.
tazkirah hari ini
Al-Quran dan Kita

No comments:
Post a Comment