Friday, June 25, 2004

CERPEN: MEMANG KAMI MEMILIH BENIH-sambungan



Bismillah, Walhamdulillah, Allahuakbar.



Firman ALlah SWT:

"Hai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dan lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALlah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya ALlah Maha Mengetahui lagi maha Mengenal."

(Al-Hujarat: 13)






Dulu pun ada ura-ura nak buat tanaman padi di atas bumbung rumah. Memang pun dah dibuat, dengan adanya teknologi. Tapi sudahnya tak ke mana. Padi pun mahal, bumbung pun rosak. Dulu juga ada yang memperkenalkan penggunaan racun, itu pun datang daripada teknologi juga. Tapi hasilnya, tikus tak ke mana, padi yang mati. Bukan padi saja, ikan puyu, ikan sepat, ikan haruan yang selama ini bermaharajalela dalam bendang-bendang kami pun mati kesemuanya. Hampir semusim kami tak mengail, dan semusim itulah bendang kami mati.



Bukan kami menolak teknologi, kerana kami pun gunakan baja untuk memberi makan padi-padi kami. Buah padi kami pun gemuk-gemuk belaka selepas itu. Kami pun gunakan pam untuk alirkan air ke bendang yang agak tinggi sedikit, dan kami gunakan mesin pembajak untuk membajak bendang kami. Bukankah itu semua teknologi? Cuma kami agak sangsi dengan benih padi yang baru ini. Itu sebab kami enggan menanam benih tersebut. Ramailah yang mengata macam-macam pada kami, kami tidak kisah semua itu. Bukankah masing-masing punya hak memilih? Lagipun apalah kurangnya benih baru tu dengan benih yang kami gunakan sejak sekian lama?



Kami masih ingat lagi, beberapa tahun dulu, heboh tentang benih padi baru di kampung kami. Ketika itu orang kampung keluar beramai-ramai untuk membeli benih itu. Masing-masing pun mula menanam benih padi itu menggantikan benih yang sekian lama mereka gunakan. Kecuali arwah ayah, dia tetap dengan benih yang selalu digunakannya. Sudahnya apa yang jadi, memang benih itu berbuah lebat, tapi padinya tak tahan penyakit. Tak banyak yang menjadi, malah banyak duit yang terpaksa mereka keluarkan untuk membaja dan meracun. Akhirnya mereka kembali menukar benih padi.



Tapi memang betul kata orang, bangsa kita ni mudah lupa. Setiap kali apabila ada saja orang luar yang datang memperkenalkan benih baru, masing-masing semacam terpukau untuk mencubanya. Tak salah mencuba, tapi yang salahnya mereka tak pernah belajar daripada kesilapan silam. Akhirnya kecewa, kemudian mencuba lagi, lepas tu kecewa semula. Nasib baiklah musim menanam padi dua kali setahun, setidak-tidaknya kalau gagal musim ini, masih ada satu musim lagi untuk menanam padi.



Entah-entah benih baru ni pun macam tu juga. Padinya mudah kena penyakit, buahnya cepat luruh, tangkainya rapuh. Zaman sekarang, bukan senang untuk mendapatkan benih yang baik, dan bila dah dapat, kena jaga elok-elok benih yang ada. Bukankah zaman sekarang terlalu banyak makhluk perosak? Bila melihat padi menguning saja, masing-masing mulalah buat onar. Yang susahnya petani. Bila padi dah tak menjadi, mana nak cari duit untuk belanja sekolah anak-anak?



Sebab itu arwah pilih benih yang baik. Padinya ampuh, walaupun buahnya taklah selebat dan sehebat padi daripada benih baru. Kami pun membesar dengan beras yang hasilnya daripada benih itu. Bila benih baik yang digunakan, setidak-tidaknya arwah ayah tak perlu terlalu menjaga padinya daripada makhluk-makhluk perosak dan penyakit, kerana padinya tahan. Sebab itulah arwah punya banyak masa, dan masa yang ada digunakan untuk menahan taut dan memukat, bagi mencari sumber pendapatan sampingan. Duit yang diperoleh, dibuat belanja rumah dan sekolah anak-anak. Sebab itulah hidup kami tidaklah susah sangat, dan kami dapat membesar dengan sempurna seperti sekarang.



Maaf salah dan silap.

Bersabar dan bersolatlah... Wassalam.

No comments:

Post a Comment