CERPEN:MEMANG KAMI MEMILIH BENIH
Bismillah, Walhamdulillah, Allahuakbar.
"Dan Allah telah mengeluarkanmu dari perut ibumu tidak mengetahui apa-apa, kemudian memberimu pendengaran, penglihatan dan fikiran (perasaan,)supaya kamu bersyukur" an-Nahl:78
Kalau ditanya mengapa kami enggan memilih benih padi baru itu, katakan pada mereka yang kami masih sayang pada benih yang telah kami gunakan sekian lama. Benih itulah yang membolehkan kami lahir dan membesar sebegini. Masih kami ingat lagi, lebai daripada kampung sebelah datang bertemu arwah ayah, memperkenalkannya benih yang kami tanah sekarang. Katanya benih itu cukup baik, padinya nanti berbuah lebat dan tidak mudah luruh. Benih itu datangnya daripada sebuah kampung yang cukup subur. Dan sejak itulah arwah mula menanam benih tersebut.
Bila musim menuai, padi kami cukup lebat. Cukuplah untuk menampung belanja rumah dan sekolah kami. Arwah pun cukup gembira bila padinya menguning. Tangkainya tunduk kerana terlalu banyak butir padi bergantungan padanya. Bendang kami pun taklah sebesar mana, namun hasil yang diperolehi tidaklah menghampakan. Dapat juga sesen dua yang lebih daripada musim sebelumnya, buat kami berjalan-jalan ke pekan.
Itu kisah dulu. Sebab itu kami enggan menukar benih padi kami. Biarlah orang ramai memilih benih yang mereka suka, lagipun ada juga yang tak mahu menukar benih padi mereka. Kami bukan berseorangan... ya memang kami tak berseorangan kerana Pak Nik, Pak Hashim, Pak Mat pun masih dengan benih lama. Mungkin benar benih baru ini lebih baik, buahnya nanti lebih panjang dan lebih lemak, kerana ianya datang daripada kemajuan teknologi. Tapi kami tidak tahu asal usulnya. Entah dari mana datangnya benih-benih itu. Entahkah dari belukar, ataupun daripada padi liar di tepi-tepi bukit, ataupun benih yang dibuang, itu yang kami tak tahu.
Arwah pernah berpesan agar kami sentiasa berhati-hati memilih benih padi, biarlah tahu asal-usulnya. Benih yang baik kelak akan mendatangkan hasil yang baik, biarlah sedikit, asalkan baik, buahnya tidak rosak, tidak mudah hancur, tangkainya kuat, tak mudah rebah dipukul angin. Angin memang selalu bertiup, dan telah banyak padi yang rebah. Namun padi kami tak rebah, buahnya tak gugur, tangkainya kukuh. Kami besar pun dengan makan hasil padi kami.
Bukan bermakna kami menolak teknologi, kami hidup pun dengan teknologi. Tapi kadangkala teknologilah punca kepada kerosakan. Dulu mana pernah dengar pun tentang padi angin, dondang emas, padi reput, namun sejak mesin padi mula masuk bendang, semuanya muncul. Bukan kami saja yang berkata macam tu, semua orang kampung pun berkata sebegitu. Namun kami tak pula menolak kedatangan mesin padi, kerana dengannya kerja kami menjadi lebih mudah. Cuma kami lebih berhati-hati dalam menerima teknologi.
-----------
Ada satu teka teki: "A rich man needs..... A poor man has....., if you eat..... you will die. Only one word fits all three blanks" Apa jawapannya?
Maaf salah dan silap.
Bersabar dan bersolatlah... Wassalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment