REDHA
Bismillah, Walhamdulillah, Allahuakbar.
Seorang sahabat bermadah;
"Sahabat, setiap ujian yang datang adalah tarbiyyah daripada Allah. Beruntunglah kita kerana berada dalam golongan yang ditarbiyyah. Sabarlah, kerana pahit getir perjuangan ini akan hilang manisnya tanpa kesabaran..."
Mengapa perlu kecewa setelah berusaha? Sudah tentulah bukan semua yang dicita akan jatuh ke riba kerana urusan memberi itu bukan di tangan manusia. Justeru kita tidak perlu gelisah, apatah lagi kecewa.
Sudah ditentukan oleh Allah, hidup perlu berusaha. Soal berjaya atau tidak bukanlah kita yang merencanakannya, terpulanglah kepadaNya. Barangkali usaha yang ada belum melayakkan kita untuk memperoleh apa yang diusahakan. Maka kita perlu melipat gandakan usaha yang ada. Mungkin juga kadangkala kita sudah betul-betul bekerja, namun kerana ada kesalahan silam kita, Allah tangguhkan seketika kejayaan itu, atas nama kifarah. Kadangkala Dia sengaja mentakdirkan kegagalan, sebagai ujian tanda kasih-sayangNya.
Setelah kita mengetahui akan semua ini, apakah masih ada rasa kecewa? Jika begitu yang dirasa, ternyatalah kita masih belum mengenali Tuhan yang disembah. Masih terlalu cetek kefahaman kita dalam mengenal erti kasih Allah kepada hambaNya.
Justeru, redhalah... kerana keredhaan itu tanda berimannya kita dengan ketentuanNya. Bukankah redha itu indah? Jika tidak, masakan Allah menganugerahkan ketinggian dan kemuliaan buat mereka yang redha. Benar, redha itu susah, tetapi jiwa yang sentiasa dilatih sudah pasti mudah merasainya. Redhalah, kerana keredhaan itu mendidik jiwa menjadi sabar. Redhalah, demi mencari keredhaanNya.
Maaf salah dan silap.
Bersabar dan bersolatlah... Wassalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment