Bismillah, Walhamdulillah, Allahuakbar.
"Sinarilah rumahmu dengan solatmu dan membaca al-Quran."H.R. Al-Baihaqi
P
enantian itu suatu penyiksaan, betulkah begitu? Entahlah, tapi itulah kata orang... mungkin ada benarnya, kerana penantian menjadikan kita berdebar-debar dan tertunggu-tunggu, penantian menjelmakan gelisah dan resah. Penantian menjadikan kita tertanya-tanya, apakah jawapannya? Apakah akhirnya? Apakah seterusnya...
Perlaksanaan Syariah; Polemik Yang Tiada Sudahnya
SESUNGGUHNYA berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih, bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). (As-Syams :9)
Apa sudah jadi? Awal Muharram digegarkan dengan isu tindakan JAWI terhadap sekumpulan pengunjung sebuah pusat hiburan baru-baru ini. JAWI dikatakan tidak profesional dalam melaksanakan tugas mereka sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab ke atas hal-ehwal agama Islam di Wilayah Persekutuan. Semuanya kerana 'tindakan keterlaluan' kakitangannya pada hari berkenaan.
'Tindakan keterlaluan'...?
Rentetan daripada itu, maka timbullah 'pelbagai suara daripada pelbagai rupa' yang meminta JAWI agar lebih berhemah dan berhikmah. Kemudian, kita dikejutkan dengan kenyataan yang bersifat mencabar oleh seorang artis, yang sengaja dipaparkan melalui media (apa tujuannya ya?). Seakan-akan malam tersebut merupakan malam malapetaka bagi JAWI, artis yang mengaku dirinya Muslim ini mempersoalkan secara terang-terang tindakan jabatan agama tersebut, bahkan menganggap ianya sebagai tindakan yang tidak wajar! Lebih malang lagi apabila isu ini kemudiannya diumumkan bakal dibawa ke kabinet untuk dibincangkan! Besarnya dosa JAWI... itulah tafsiran awal jika dilihat daripada reaksi awal terhadap isu tersebut.
'Tindakan keterlaluan'...?
Apa yang berlaku sebenarnya menjelaskan hakikat bahawa perlaksaan Islam di dalam negara masih dihantui dengan isu dan polemik yang tiada penghujungnya. Seakan-akan ada 'kuasa' yang tidak ingin melihat Islam dilaksanakan sepertimana yang sepatutnya, setiap kali timbul isu berkaitan perlaksanaan syariah, maka ada sahaja tangan dan suara yang menegah dan menyergah, yang akhirnya mematikan terus usaha murni tersebut. Ternyata jalan ke arah perlaksanaan Islam tidak seindah yang diharapkan...penuh dengan ranjau yang melukakan!
Siapakah yang keterlaluan?
Itulah persoalan yang memerlukan jawapan kita. Jawapan daripada seorang yang dianugerahkan Allah akal dan iman.
Pelik bukan? Kitalah bangsa yang menghuni negara Islam (itulah tafsiran kita). Kitalah bangsa yang dipuji kerana 'Islam' kita, kitalah bangsa yang mengenalkan kepada dunia, konsep Islam dan Tamadunnya, kitalah bangsa yang memimpin jutaan penganut agama Muhammad S.A.W. dalam forum dan persidangan yang tidak terkira jumlahnya, bahkan kita juga bangsa yang sentiasa lantang menyuarakan hak dan pandangan ummah, di mana jua kita berada... namun perlaksanaan Islam terus dihantui mimpi ngeri di bumi sendiri. Apa maknanya?
"(KEBENARAN itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (sepanjang hayatnya, sehingga ia tidak mengakui adanya Hari Kiamat). Ia bertanya (secara mengejek): 'Bilakah datangnya Hari Kiamat itu?'" (Al-Qiamah : 5-6)
Fikirkanlah...
Maaf salah dan silap.
Bersabar dan bersolatlah... Wassalam.
tazkirah hari ini
Tarbiyah Mukmin Melahirkan Mujahid

No comments:
Post a Comment