Bismillah, Walhamdulillah, Allahuakbar.
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." ( Surah Al A'araaf: 179 )
A
lah... sahabat-sahabat tunggu je la ye, entri terakhir MENGHITUNG HARI (...) nanti. Takyahla nak belajar menembak, sebab sahabat-sahabat memang tak pandai menembak. Jauh sangat tersasar. Yang pastinya, bukan menunggu untuk walimah tapi sebenarnya... eh..eh, nasib baik tak tercakap kan :P . Alah, tunggu je la entri terakhir nanti.
Kuperkenalkan sahabat-sahabatku...
Mereka adalah warga blog dan merekalah sahabat-sahabatku. Mungkin pada kami ada perbezaan, namun hakikatnya Allah mempertemukan kami, dan ukhuwwah fillah ini merupakan amanah untuk dipelihara. Inilah sahabat-sahabat yang telah banyak membantu, memberi ingatan, memberikan khabar gembira... mereka, kuperkenalkan...
adeek
Inilah adikku, lulusan Kolej Teknologi Islam Melaka. Kini menjadi pendidik di utara tanahair. Walaupun bersaudara namun kami cukup berbeza... jauh berbeza. Dia seorang yang pandai menyampaikan kuliah ilmu, arif dalam ilmu agama, sesuai dengan peribadi dan disiplin ilmunya. Seorang yang ketika tiba waktunya berada di surau... sentiasa mengikuti perjuangan jihad di seluruh dunia. Aku? Aku tak pandai apa-apa... kerana aku seorang budak nakal. Bukankah kami berbeza?
amad
Inilah sahabat yang kukenali melalui blog, perkenalan di shoutbox yang akhirnya melahirkan persahabatan rasmi. Sahabat yang cukup kreatif, khasnya dalam bidang muzik... dakwahnya 'berirama', cukup indah! Bukankah dakwah juga perlukan seni? Inilah sahabat yang telah mengasaskan projek dan komuniti DHUAT... seorang yang ceria dan bersahaja. Antara kami punya satu persamaan... meminati kata-kata! Sehingga kini, komitmennya dalam kerja-kerja agama menyebabkan aku kadangkala kehilangan kata...
amin
Warga DU (dan alumni KMR) yang kini bergelar pendidik di Johor. Kami bersama dalam aktiviti-aktiviti agama di kampus. Sahabat yang meminati bola, sama sepertiku. Seorang yang kukenali sebagai seorang yang sentiasa menyelesaikan tugasan yang diberikan ketika di kampus... dan aku cukup mengaguminya.
paiji
Inilah sahabat yang mengajarku benda yang bernama blog! Lulusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan alumni KPZ, yang pernah bergelar pelajar terbaik matrikulasi sains. Hebatkan? Inilah juga 'teammate'ku dalam T6, pasukan yang cukup huru-hara dan sentiasa mendatangkan masalah. Biasalah... budak nakallah katakan. Kami pernah menjadi budak belasahan bersama... dilanyak dalam lumpur, direndam di dalam kolam, diarah berjaga malam, balasan yang cukup setimpal bagi mereka yang nakal. Aku mengenalinya sebagai seorang yang berstrategi dan kreatif, dan kelebihan itulah yang menjadikan T6 sebuah pasukan yang lengkap. Rupanya dia peminat sastera (padahal tak pernah nampak pegang buku sastera pun kat kampus dulu). Beliaulah yang mengasaskan projek blog tazkirah berantai...
hany
Kami diperkenalkan melalui Insafperlis. Lulusan MMU dan telahpun berwalimah. Beliau merupakan sahabat kepada Iena, seorang yang meminati naga dan merangkap sahabatku. Seperti juga adikku, beliau kugolongkan dalam golongan insan-insan baik. Inilah pemberian Khaliq padaku...sahabat-sahabat yang baik-baik, yang sentiasa mengajarku kebaikan dan kebenaran!
iena
Suatu ketika, aku memanggilnya Panadol, semuanya kerana dia pernah demam ketika kami mengikuti suatu kursus. Lulusan MMU dalam bidang perakaunan dan mempunyai daya kepemimpinan yang cukup tinggi. Masakan tidak, beliau pernah memegang amanah exco dalam MPP ketika di kampus, dan kini bertugas di Telekom Malaysia. Kami dipertemukan dalam kursus YTR (Yayasan Tun Razak), kursus kepemimpinan yang sebenarnya direkabentuk untuk pelajar-pelajar baik dan cemerlang... tapi ada juga seorang peserta tersesat masuk, dan akulah orangnya. Kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di UIAM dan seorang yang rupa-rupanya cukup multitasking! Inilah sahabatku yang kunyatakan cukup meminati naga (bacalah blognya...nescaya anda kan ketemu perkataan naga, tak terkira jumlahnya). Dan seperti juga mereka yang lain, beliau sentiasa aktif dalam kegiatan-kegiatan untuk agama...
JEPun
Ketua Pengawas ketika di RI (alumni KTDI) kerana beliau merupakan seorang yang cukup berdisiplin di rumah serta sentiasa berpakaian kemas seperti seorang ketua darjah, ketika ke kuliah. Inilah anak usrahku, yang akhirnya menjadi nakal, melebihi naqibnya. Lulusan Sains Komputer dan kini bergelar pendidik di Johor. Seorang yang kukenali berjiwa besar dan istiqamah, punya ciri-ciri seorang pemimpin Islam yang dinamik dan seorang yang sentiasa punya idea yang bernas. Beliau seorang yang sentiasa kemas dan teratur, mempunyai kemahiran menulis (bekas exco Sekretariat Penerbitan MPPUPM) dan provokasi (khasnya kepada kawan-kawannya). Dialah juga seorang yang menceriakan dan memaknakan hidup warga RI suatu masa dahulu...kerana dia punya kereta. Tanpanya, sukarlah kami ke mana-mana.
madiganu
Pakar IT yang banyak membantu. Seorang lagi warga DU kelahiran Terengganu, merangkap alumni KMR. Kini masih menuntut di UPM sebagai warga FBMK. Beliau kukenali sebagai seorang yang berwatak ceria dan mudah mesra.
matdwe
Arrr... sukar untuk ditakrifkan melalui kata-kata, inilah musuh ketatku sampai ke saat blog ini ditulis. Warga Kelantan lulusan Maahad, graduan Sains Komputer dan pakar multimedia dan grafik, merangkap penggerak utama T7. Beliau adalah alumni KOSASS, pernah ditaklifkan sebagai exco kerohanian, yang kini aktif dengan aktiviti agama di tanah kelahirannya. Seorang yang boleh kunyatakan sebagai insan yang bijak menyempurnakan tugas yang ada, dan mempunyai tahap kenakalan yang cukup membimbangkan. Namun beliau punya idea-idea kritikal selain berfikiran kritis...dan inilah yang melahirkan kekagumanku kepadanya.
PAis
Ini lagi satu makhluk nakal dalam pasukan T6 yang kenakalannya berada di tahap cukup kritikal. Sahabatku yang telah berwalimah, alumni KPZ dan lulusan fakulti sains. Kini melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan. Kukira setelah berwalimah, sifat nakalnya beransur kurang, rupanya taaaakkkkk! Tapi tak kisahlah, kerana beliau punya zaujah yang solehah. Seorang yang cukup berstrategi, yang menjadikan T6 pasukan yang sentiasa sukar dijangka, seorang yang sentiasa ceria walaupun bukan pada tempatnya. Aku hormatinya kerana sentiasa sahaja kutemuinya dalam majlis-majlis ilmu.
Merekalah sahabatku. Sahabat ketika senang dan susah...kerana kami diikat atas nama ukhuwwah Islamiyyah.
Mereka ini pula sahabat-sahabat baruku, dan aku percaya, mereka punya kelebihan... seperkara yang menarik, sentiasa ada ayat-ayat Allah dan kata-kata yang menyeru manusia ke arah kebenaran mengisi ruang blog mereka. Apabila bersastera, mereka mengingatkan manusia kepada Allah melaluinya. Mereka juga kukira sebagai saudaraku... kerana pada kami, ada lafaz yang sama...syahadah!
cthurairah
thurayya
kak ani
bro fahd
Maka, aku perlu lebih bersyukur kerana diberi peluang untuk mengenali watak-watak ini. Syukurlah kerana aku sentiasa dikelilingi oleh insan-insan yang jiwanya sentiasa dekat dengan Allah. Syukurlah... aku berpeluang menatap indahnya ukhuwwah fillah, sebelum tertutup mata.
Maaf salah dan silap.
Bersabar dan bersolatlah... Wassalam.
tazkirah hari ini
Sebab Hati Mati

No comments:
Post a Comment