Sunday, October 16, 2005

MATIKAH DEMOKRASI KAMPUS?



Bismillah, Walhamdulillah, Allahuakbar.

"Bagi mereka azab dalam kehidupan dunia dan sesungguhnya azab di akhirat adalah lebih keras dan tiada bagi mereka seorang pelindung dari azab Allah." (Ar-Ra'd: 34)

S

emalam ketika ana membaca sebuah akhbar, ana tertarik dengan satu artikel yang bertajuk Berkuburnya Demokrasi Kampus. Di atasnya dipaparkan gambar beberapa orang mahasiswa sedang meletakkan kalung bunga pada sebuah keranda (simbolik). Kelihatan wakil-wakil setiap IPTA di sekeliling keranda tersebut sambil memegang sepanduk masing-masing.


Barangkali ada yang tertanya-tanya..."benarkah demikian?"


Bagi mereka yang pernah terlibat dalam gerakan politik kampus, sudah pasti mengiyakan pertanyaan di atas, betapa pada hakikatnya, sistem demokrasi di kampus sebenarnya tidaklah seindah namanya. Pilihanraya kampus sebenarnya menyaksikan pertembungan yng cukup tidak demokratik. Ketika ada laungan yang menolak kemasukan politik kepartian ke dalam kampus, politik kampus sebenarnya telah dibeli oleh kuasa politik luar, justeru, menafikan kedaulatan kampus serta keintelektual para warganya.


Dan mungkin ada yang menyatakan..."takkanlah begitu?"


Tanyalah pada para mahasiswa (anak muda kita), dari mana datangnya wang yang melimpah ruah untuk menaja kumpulan-kumpulan tertentu bagi menguasai IPTA-IPTA di seluruh negara. Tanyalah pada mereka, benarkah berlakunya pertandingan, ataupun sebenarnya perlantikan yang dikaburi dengan pertandingan yang sama sekali tidak wujud. Tanyalah, apa peranan pentadbiran universiti dalam proses pemilihan calon... dan tanyalah, mengapa wujud keanehan dalam pembahagian tempat untuk menduduki kolej dan kamsis?


Karisma menurut Tony Alessandra di dalam bukunya 'Charisma:Seven Keys To Developing The Magnetism That Leads To Success' menyatakan bahawa salah satu ciri utama karismatik ialah potensi menyampaikan visi dan idea secara berkesan.Memetik kata beliau "Charismatic people possess a similar,almost childlike faith in their vision and their ability to create change.People will follow leaders whose vision inspires them and makes their lives more meaningful".


Tetapi apa erti karisma andai kepemimpinan kampus dipilih secara terpaksa?


"Kampus, sekiranya dikongkong keintelektualannya, disekat kebebasannya, akan mati fungsinya, dan ini merupakan kerugian terbesar kepada negara..." sekurang-kurangnya itulah maksud keluhan seorang tokoh intelek ketika ditemubual oleh sebuah akhbar. Yang nyata, keluhan ini sebenarnya bukanlah baru, tetapi sudah bergema secara diam di kalangan warga kampus sendiri sejak sekian lama. Namun, akta dan pelbagai larangan menjadi punca mengapa suara-sura ini tidak begitu kedengaran.


Akibatnya, sudah tiba masa di mana mahasiswa menganggap pilihanraya sebagai suatu perkara yang tidak membawa apa-apa makna. Mengundi hanyalah sebagai prasyarat untuk terus kekal di kolej-kolej kediaman dan menerima pinjaman PTPTN. Menyertai pilihanraya hanyalah disebabkan ganjaran dan janji-janji pihak tertentu. Jelasnya, pilihanraya kampus adalah suatu permainan tidak bermaruah yang cukup menjelekkan!


Apa pandangan anda?

Maaf salah dan silap.
Bersabar dan bersolatlah... Wassalam.

tazkirah hari ini
Mauidzah

No comments:

Post a Comment